Gotō Shinpei
Gotō Shinpei | |
|---|---|
後藤 新平 | |
| Menteri Dalam Negeri Jepun | |
| Dalam jawatan 2 September 1923 – 7 Januari 1924 | |
| Perdana Menteri | Yamamoto Gonnohyōe |
| Didahului oleh | Mizuno Rentarō |
| Digantikan oleh | Mizuno Rentarō |
| Dalam jawatan 9 Oktober 1916 – 23 April 1918 | |
| Perdana Menteri | Terauchi Masatake |
| Didahului oleh | Ichiki Kitokurō |
| Digantikan oleh | Mizuno Rentarō |
| Datuk Bandar Tokyo | |
| Dalam jawatan 17 Disember 1920 – 27 April 1923 | |
| Didahului oleh | Tajiri Inajirō |
| Digantikan oleh | Hidejirō Nagata |
| Menteri Luar Negeri Jepun | |
| Dalam jawatan 23 April 1918 – 29 September 1918 | |
| Perdana Menteri | Terauchi Masatake |
| Didahului oleh | Motono Ichirō |
| Digantikan oleh | Uchida Kōsai |
| Menteri Perhubungan | |
| Dalam jawatan 21 Disember 1912 – 20 Februari 1913 | |
| Perdana Menteri | Katsura Tarō |
| Didahului oleh | Hayashi Tadasu |
| Digantikan oleh | Motoda Hajime |
| Dalam jawatan 14 Julai 1908 – 30 Ogos 1911 | |
| Perdana Menteri | Katsura Tarō |
| Didahului oleh | Hotta Masayasu |
| Digantikan oleh | Hayashi Tadasu |
| Presiden Biro Kereta Api Jepun | |
| Dalam jawatan 5 Disember 1908 – 30 Ogos 1911 | |
| Didahului oleh | Hirai Seijirō |
| Digantikan oleh | Tokonami Takejirō |
| Maklumat peribadi | |
| Lahir | 24 Julai 1857 Isawa, Iwate, Jepun |
| Meninggal dunia | 13 April 1929 (umur 71) Kyoto, Jepun |
| Tempat semadi | Perkuburan Aoyama |
| Parti politik | Rikken Dōshikai (1913–1916) |
| Pasangan | Gotō Kazuko |
| Saudara | Etsusaburo Shiina (saudara) |
| Tempat belajar | Universiti Perubatan Fukushima |
Count Gotō Shinpei (後藤 新平, 24 Julai 1857 – 13 April 1929) ialah seorang ahli politik, pakar perubatan dan menteri kabinet Jepun pada zaman pemerintahan Taishō dan awal era Shōwa Empayar Jepun. Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat sebagai ketua hal ehwal awam Taiwan di bawah pemerintahan Jepun, pengarah pertama Syarikat Kereta Api Manchuria Selatan, Datuk Bandar Tokyo yang ketujuh, Ketua Pengakap Jepun yang pertama, Ketua Pengarah NHK yang pertama, pengetua ketiga Universiti Takushoku, serta memegang beberapa jawatan penting dalam kabinet kerajaan.
Gotō merupakan antara ahli politik dan pentadbir yang paling berpengaruh dalam kerajaan pusat Jepun pada era pemodenan dan reformasi pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.[1] Beliau juga merupakan penyokong kuat kolonialisme Jepun, serta mempertahankan dan menggalakkan pencerobohan Jepun yang bersifat agresif ke atas China dan Korea.
Kehidupan awal
[sunting | sunting sumber]Gotō dilahirkan di Isawa, Wilayah Mutsu (kini Wilayah Iwate) dalam sebuah keluarga samurai peringkat sederhana yang berkhidmat di bawah puak Rusu, naungan kepada Domain Sendai. Selepas kekalahan Domain Sendai dalam Perang Boshin (1868) yang menentang Pemulihan Meiji, keluarganya kehilangan status samurai dan hidup sebagai petani. Bagaimanapun, selepas Isawa diletakkan di bawah pentadbiran langsung kerajaan Meiji pada tahun 1869, Gotō mula menarik perhatian pegawai kerajaan dan terlibat dalam urusan pentadbiran tempatan, yang membolehkannya melawat Tokyo pada tahun 1871.
Walaupun pada awalnya enggan menjadi doktor, Gotō melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan berkhidmat di Hospital Wilayah Aichi di Nagoya. Beliau berkhidmat sebagai pegawai perubatan kerajaan semasa Pemberontakan Satsuma (1877), dan pada usia 25 tahun dilantik sebagai presiden Sekolah Perubatan Nagoya. Keupayaannya terserlah melalui perkhidmatan di institusi tersebut dan hospital tentera di Osaka.
Pada tahun 1883, Gotō menyertai Biro Perubatan Kementerian Dalam Negeri dan akhirnya menjadi ketuanya. Beliau dihantar ke Jerman pada tahun 1890 untuk melanjutkan pengajian, serta menerbitkan karya Prinsip Kesihatan Negara dan terlibat dalam pembangunan sistem pembetungan dan bekalan air Tokyo. Kepakarannya menarik perhatian Kodama Gentarō, yang melantik Gotō sebagai ketua Pejabat Kuarantin Tentera semasa Perang China–Jepun Pertama. Selepas perang, beliau berperanan penting dalam pentadbiran kolonial Jepun di Taiwan, khususnya dalam hal ehwal kesihatan, sebelum dilantik sebagai gabenor awam pertama Taiwan pada tahun 1898.[2]
Di Taiwan
[sunting | sunting sumber]Selepas tamat perang, Dinasti Qing menyerahkan Formosa dan Kepulauan Pescadores (kini Taiwan) kepada Jepun melalui Perjanjian Shimonoseki. Kodama Gentarō dilantik sebagai Gabenor Jeneral Taiwan, manakala Gotō Shinpei dilantik sebagai ketua hal ehwal awam pentadbiran kolonial Jepun di pulau tersebut.[3]
Sebagai pentadbir awam, Gotō melaksanakan pembaharuan menyeluruh. Beliau mengarahkan bancian tanah, membangunkan sistem bekalan air bersih dan pembetungan, serta menggantikan polis tentera dengan pasukan polis awam. Beliau turut menghapuskan simbol ketenteraan dalam kalangan pegawai kerajaan dan menghidupkan semula peranan ketua kampung serta orang tua sebagai alat kawalan sosial. Dalam bidang kesihatan, Gotō membina hospital awam dan kolej perubatan di Taipei serta klinik rawatan penyakit tropika di seluruh Taiwan.
Gotō juga memperkenalkan dasar penghapusan candu secara berperingkat melalui sistem lesen penjualan. Dasar ini berjaya mengurangkan ketagihan candu secara drastik dan pada masa yang sama melemahkan gerakan penentangan bersenjata tempatan. Hasil cukai candu turut digunakan untuk mengukuhkan sokongan elit Taiwan terhadap pemerintahan Jepun.
Berpandukan latar belakang perubatannya, Gotō percaya Taiwan perlu ditadbir berdasarkan "prinsip biologi", iaitu memahami adat, tabiat dan struktur sosial penduduk tempatan sebelum menggubal dasar. Demi mencapai tujuan ini, beliau menubuhkan Majlis Siasatan Adat Lama Taiwan sebagai asas kepada pentadbiran kolonial yang lebih berkesan.
Dalam bidang ekonomi dan infrastruktur, Gotō meletakkan asas pembangunan koloni melalui monopoli kerajaan ke atas gula, garam, tembakau dan kapur barus, serta pembangunan pelabuhan dan rangkaian kereta api. Di bawah pentadbirannya, sistem jalan raya diperluaskan, perkhidmatan pos, telefon dan telegraf diwujudkan, loji hidroelektrik dibina, dan Bank Taiwan ditubuhkan. Menjelang 1905, Taiwan menjadi koloni yang mampu menampung kewangannya sendiri.
Gotō turut mereformasi sistem kepolisan kolonial yang sebelum itu bersifat keras dan mencetuskan penentangan. Beliau menyesuaikan sistem baojia Dinasti Qing menjadi sistem Hoko, iaitu kawalan masyarakat berasaskan kumpulan isi rumah. Sistem ini digunakan untuk pemungutan cukai, pengawalan candu dan pemantauan penduduk, serta menjadi tulang belakang pentadbiran kolonial Jepun di Taiwan.
Akhirnya, balai polis didirikan di seluruh pulau, termasuk kawasan pedalaman dan wilayah orang asli Taiwan. Di kawasan ini, polis bukan sahaja menjalankan tugas keselamatan, malah berperanan dalam pendidikan dan proses asimilasi budaya, sekali gus memperkukuh penguasaan Jepun ke atas masyarakat tempatan.[4]
Kerjaya politik
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1906, Gotō dilantik sebagai pengarah pertama Syarikat Kereta Api Manchuria Selatan. Dua tahun kemudian, beliau kembali ke Jepun sebagai Menteir Perhubungan dan ketua Biro Kereta Api di bawah pentadbiran kedua Perdana Menteri Katsura Tarō. Pada tahun 1912, beliau dilantik sebagai Pengarah Biro Penjajahan, serta menjadi pembantu rapat Perdana Menteri Katsura dalam penubuhan parti politik Rikken Dōshikai selepas krisis politik era Taishō.
Selepas kematian Katsura, Gotō bekerjasama rapat dengan Yamagata Aritomo dan dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri pada tahun 1916, sebelum memegang jawatan Menteri Luar Negeri dalam kabinet Terauchi Masatake pada tahun 1918. Sebagai pendukung kuat fahaman Pan-Asia, beliau menyokong dasar luar Jepun yang bersifat agresif dan peluasan wilayah semasa Perang Dunia Pertama, termasuk campur tangan Jepun di Siberia.
Pada April 1919, susulan Gerakan 1 Mac di Korea, Gotō secara terbuka mempertahankan tindakan keras Jepun terhadap penunjuk perasaan serta penjajahan Korea, dengan hujah bahawa Jepun sedang melaksanakan "misi pemodenan dan ketamadunan".[5]
Gotō berkhidmat sebagai Datuk Bandar Tokyo pada tahun 1920, dan sekali lagi sebagai Menteri Dalam Negeri pada tahun 1923, di mana beliau memainkan peranan penting dalam usaha pembinaan semula Tokyo selepas kejadian gempa bumi Kantō 1923.
Pada tahun 1924, sebuah jam poket keluaran awal institut yang menjadi pelopor syarikat Citizen Watch dihadiahkan kepadanya. Gotō menamakan jam tersebut sebagai "Citizen", dengan harapan ia suatu hari nanti dapat dimiliki secara meluas oleh rakyat biasa.
Gotō meninggal dunia akibat pendarahan otak pada tahun 1929 ketika melawat Okayama. Kertas dan arkib peribadinya kini disimpan di Muzium Memorial Gotō Shinpei di bandar kelahirannya, Mizusawa, Wilayah Iwate.
Pengakap
[sunting | sunting sumber]Gotō dilantik sebagai Ketua Pengakap Jepun yang pertama dan diberi tanggungjawab untuk mereformasi organisasi Pengakap yang baru disatukan pada awal tahun 1920-an. Semasa berkhidmat sebagai Menteri Kereta Api, Count Gotō mengembara ke seluruh Jepun dan menggunakan kesempatan tersebut untuk mempromosikan gerakan Pengakap di seluruh negara. Pada tahun 1956, beliau dianugerahkan secara anumerta darjah kebesaran tertinggi Persatuan Pengakap Jepun, iaitu Anugerah Pegar Emas.
Catatan
[sunting | sunting sumber]- ↑ Caves, R. W. (2004). Encyclopedia of the City. Routledge. m/s. 310.
- ↑ Sewell, Bill (2004). "Reconsidering the Modern in Japanese History: Modernity in the Service of the Prewar Japanese Empire". Japan Railway & Transport Review. 16. Japan Review: 213–258.
- ↑ Kublin, Hyman (1959). "The Evolution of Japanese Colonialism". Comparative Studies in Society and History. 2 (1): 67–84. doi:10.1017/S0010417500000554. ISSN 0010-4175. JSTOR 177547.
- ↑ Crook, Steven (4 Disember 2020). "Highways and Byways: Handcuffed to the past". www.taipeitimes.com. Taipei Times. Dicapai pada 7 Disember 2020.
- ↑ Palmer, Brandon (Disember 2020). "The March First Movement in America: The Campaign to Win American Support". Korea Journal (dalam bahasa Inggeris). 60 (4): 209. ISSN 0023-3900 – melalui DBpia.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]
Kategori berkaitan Gotō Shinpei di Wikimedia Commons- Goto Shimpei no Kai
- Goto, Shinpei | Portraits of Modern Japanese Historical Figures (National Diet Library)
- Petikan akbar mengenai Gotō Shinpei di 20th Century Press Archives daripada ZBW
- Film Address "Ethicization of Politics" by Shinpei Goto, 1926 (National Film Archive of Japan)