Pergi ke kandungan

Johor Lama

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Johor Lama (Jawi:جوهر لام) ialah sebuah kampung yang terletaknya di tebing Sungai Johor di Daerah Kota Tinggi, Johor, Malaysia. Sejak kejatuhan Kesultanan Melaka pada tahun 1511, ia menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Johor Lama sehingga dimusnahkan oleh pihak Portugis pada tahun 1587.

Johor Lama

Latar belakang

[sunting | sunting sumber]

Kampung Johor Lama kini merupakan sebuah perkampungan yang mengandungi sebuah sekolah rendah, sebuah masjid, sebuah muzium yang dinamakan Kompleks Sejarah Kota Johor Lama yang masih mempunyai tinggalan benteng tanah dan di sini juga terdapat rumah-rumah inap desa yang diusahakan oleh penduduk kampung. Kampung Johor Lama ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas. Aktiviti utama penduduk di sini ialah menangkap ikan yang dapat dilihat dengan keberadaan 3 buah jeti nelayan yang dilihat di tebing sungai Johor sepanjang kampung ini.

Masjid Jamek Johor Lama

Johor Lama pernah menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Johor pada 1540-1564 dan 1570-1587. Johor Lama dibuka oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II selepas Kota Kara dimusnahkan oleh Portugis pimpinan Estavao da Gama serta 400 tentera Portugis dan tentera bayaran Melayu. Johor Lama mempunyai Kota pertahanan yang dikenali sebagai Kota Batu. Kota tersebut dibina dengan benteng tanah yang dimampatkan dan diletakkan batu di dalam bentengnya. Pada tahun 1564, Kesultanan Aceh bawah pemerintahan Sultan Alauddin al-Qahhar telah menyerang Johor Lama. Kota tersebut dimusnahkan oleh Aceh pada tahun yang sama menyebabkan Sultan Alauddin Riayat Shah II menjadi tawanan perang Aceh.[3]

Kota tersebut dibangun semula oleh Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II pada tahun 1571 dan menjadi pusat perdagangan masyhur dan sibuk. Kesibukan perdagangan Johor Lama telah mengancam kedudukan perdagangan Melaka Portugis. Oleh itu, pada tahun 1576, armada Portugis dari Melaka menyerang Johor Lama tetapi ditangkis oleh pasukan Johor. Pada tahun 1578, armada Portugis sekali lagi menyerang Johor Lama tetapi tembakan meriam dari Kota Batu yang terlalu dahsyat telah menyebabkan banyak kapal Portugis tenggelam dan armada Portugis terpaksa berundur semula.[4]

Kekuatan Johor yang bertambah mula mengancam kedudukan Aceh yang masih menganggap Johor sebagai negeri naungannya. Oleh itu, Aceh di bawah pemerintahan Sultan Alauddin Mansur Syah I menyerang Johor Lama pada tahun 1582. Malangya, Aceh ditewaskan di Johor Lama oleh pasukan Johor dengan pakatan bersama Portugis.

Pakatan tersebut tidak berlangsung lama kerana pada tahun 1586, pasukan Johor dengan pimpinan Sultan Ali jalla Abdul Jalil Shah II menyerang Melaka tetapi ditangkis semula oleh Portugis. Oleh itu, pasukan Portugis pimpinan Antonio de Noronha telah mengejar pasukan Sultan Johor yang berundur semula ke Johor Lama. Pasukan Portugis berjumlah 300 orang berjaya mendarat dan mencuba untuk menyerang Kota Batu. Mereka menemui sebanyak 10000-12000 orang yang mempertahankan Kota Batu yang terdiri daripada orang Melayu Johor, Terengganu serta kaum lain seperti Jawa dan Minangkabau dan sekutu dari negeri naungan Johor, Indragiri dan Kampar. Pasukan Portugis tersebut dikalahkan dengan mudah. Oleh itu, Pasukan Portugis pimpinan secara langsung oleh Antonio mendarat dan menyerang Kota Batu tetapi gagal dan terpaksa berundur semula ke Melaka.[5]

Akhirnya, armada Portugis dari Goa dihantar untuk menyerang Johor Lama.Pada 15 ogos 1587, pasukan Portugis pimpinan Dom Paulo Lima de Pereira berjaya memasuki kawasan Kota Batu dan merampas banyak senjata seperti 1000 meriam gangsa, 1500 istinggar, 2000 ghali dan perahu serta banyak emas dan perak[6]. Kota tersebut dimusnahkan oleh Portugis pada tahun 1587. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II terpaksa berundur ke hulu sungai Johor. Baginda membuka Kota Batu Sawar sebagai pusat pemerintahan baharu.[7]

Benteng Kota Johor Lama

Panduan memandu ke Johor Lama

[sunting | sunting sumber]

Pelancong yang datang dari Johor Bahru boleh menggunakan Lebuhraya Tebrau dan jaraknya ialah 42 kilometer untuk sampai ke Kota Tinggi. Dari Kota Tinggi, ikut arah jalan ke Desaru, lebih kurang 20 minit perjalanan, akan dapat dilihat papan tanda Telok Sengat. Ikut arah ke Telok Sengat. Setelah 10 minit meneruskan perjalanan, terdapat papan tanda Kg Johor Lama. Ikut arah ini. Dalam 5 minit, pelawat akan sampai ke Kampung Johor Lama dan pelawat akan berada di tebing Sungai Johor.


  1. Abdul Halim Nasir (1 January, 1990). Kota-kota Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia. ISBN 9789836209962. Check date values in: |year= (bantuan)
  2. "The River Forts of Johor".
  3. "The River Forts of Johor". www.sabrizain.org. Dicapai pada 2026-05-10.
  4. "The River Forts of Johor". www.sabrizain.org. Dicapai pada 2026-05-10.
  5. "The River Forts of Johor". www.sabrizain.org. Dicapai pada 2026-05-10.
  6. "The River Forts of Johor". www.sabrizain.org. Dicapai pada 2026-05-10.
  7. "Jabatan Muzium Malaysia".